"Saya Tak Sangka Gurauan Itu Rupanya Tanda Dia Nak 'PERGI' Selamanya - Pengarah Muzik
https://kainkembang.blogspot.com/2015/11/saya-tak-sangka-gurauan-itu-rupanya.html
KUALA LUMPUR: "Saya sibuk
sangat sekarang Datuk, nak rehat pun susah...harap lepas ni bolehlah rehat panjang,"
itu gurauan terakhir Yussry Eddo yang lebih dikenali sebagai Yus Jambu kepada
Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail.
Menurut Mokhzani, pelawak itu
berkata demikian kepadanya selepas beliau menawarkan sebuah persembahan di
Perlis pada 12 Disember ini.
"Saya tak sangka gurauan
itu rupanya tanda dia nak 'pergi' selamanya...itu juga kali terakhir saya
berhubung dengan beliau," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau yang mula mengenali Yus
pada 2001 ketika Allahyarham aktif menari dan bermain gendang di Jabatan
Kebudayaan Perlis, menyifatkan pelawak itu seorang yang berbakat besar dalam
bidang seni dan sentiasa merendah diri.
Sementara itu, rakan baiknya,
Amm Raja Lawak atau nama sebenarnya Aman Shah Asri, 31, berkata kehilangan Yus
pasti dirindui kerana Allahyarham adalah orang pertama yang menghubungi beliau
ketika menghadapi musibah.
"Dialah orang pertama yang
akan bertanya keadaan saya apabila saya atau anak saya jatuh sakit atau ditimpa
sebarang musibah.
"Yus juga seorang yang
penyayang dan mengambil berat akan rakannya serta tidak berkira untuk
mengeluarkan duitnya kepada mereka yang memerlukan," katanya dalam keadaan
sebak kerana tidak dapat menziarahi jenazah akibat terikat dengan tugasan di
Kuala Selangor.
Amm yang kali terakhir berjumpa
arwah pada 1 November lepas dalam sebuah program di Perak, berkata Yus
berkelakuan agak aneh berbanding biasa.
"Allahyarham berulang kali
mengingatkan saya supaya berhati-hati memandu pulang ke Kuala Lumpur dan
memberitahu dia risau akan keselamatan saya.
"Ketika itu, saya
benar-benar ditimpa kemalangan dan menerima beberapa jahitan di kepala,"
katanya.
Beliau yang mengenali Yus Jambu
sejak awal penglibatannya dalam industri seni pada 2009 berkata, Allahyarham
banyak memberikan semangat mengenai bakat dan sering memujuk untuk bersama-sama
menyertai rancangan Maharaja lawak Mega.
Yus Jambu adalah juara program
Raja Lawak Astro musim pertama pada 2007, meninggal dunia pada kira-kira 1 pagi
tadi di Hospital Selayang dipercayai akibat serangan jantung.
Allahyarham, 39, dikejarkan ke
hospital berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Selayang selepas
mengadu sesak nafas.
Beliau sebelum itu, mengadakan
persembahan program Raja Band di Dataran Merdeka, malam tadi.