Undang Undang Tidak Mengenal Usia - Punca NENEK Dihukum Gantung Sampai MATI !
https://kainkembang.blogspot.com/2015/10/undang-undang-tidak-mengenal-usia-punca.html
Malti
dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Temerloh di sini semalam selepas dijatuhi
hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah
TEMERLOH – Mahkamah Tinggi
Temerloh di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang nenek
warganegara India yang didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 2.2
kilogram di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan pada 10 Oktober 2013.
Tertuduh yang dikenali sebagai
Malti, 60, dijatuhkan hukuman tersebut selepas Hakim Datuk Abdul Karim Ab
Rahman mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan
yang didakwa ke atasnya.
Abdul Karim berkata, mahkamah
tidak berpuas hati dengan perlakuan tertuduh yang mendakwa menjadi keldai dadah
tetapi gagal membuktikan kewujudan pihak lain.
Sejurus keputusan dibacakan
penterjemah kepadanya, Malti yang memakai sari tidak dapat menahan kesedihan
dan menangis sehinggalah ke luar galeri mahkamah.
Dalam penghakimannya, Abdul
Karim berkata, tertuduh juga didapati tidak mempunyai nombor telefon pihak
terbabit dan mempunyai tiket penerbangan pergi balik sekali gus meragukan
dakwaan tertuduh datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
Malah katanya, dengan amaun
dadah yang begitu besar adalah mustahil dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri
sebaliknya untuk aktiviti pengedaran dadah.
Menurutnya, beberapa sokongan
pihak pendakwaan yang menunjukkan tertuduh cemas, berpeluh dan menangis ketika
diperiksa juga menguatkan dakwaan tertuduh mengetahui kewujudan dadah tersebut.
“Hanya satu hukuman boleh
dijatuhkan kepada awak iaitu hukuman mati yang akan dilaksanakan ke atas kamu
yang mana kamu akan dibawa ke penjara yang sah sebelum ke tempat hukuman,”
katanya.
Terdahulu peguam tertuduh, Muhd
Hisham Abdul Rahim mengemukakan rayuan dengan alasan tertuduh sudah tua dan
mengidap kencing manis serta darah tinggi selain ini merupakan kesalahan
pertama.
Hisham berkata, tertuduh yang
mempunyai suami dan lima anak serta cucu tinggal di kawasan perkampungan miskin
di New Delhi, India. -kainkembang
Pendakwaan dikendalikan
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairuddin Idris manakala Malti diwakili peguam,
Muhd Hisham Abdul Rahim.-kainkembang