"Menolak Watak "Dering" Dan "Seksi" Demi Menjaga Aib Keluarga - Zahirah



Pasti ramai yang perasan wajah cantik gadis kacukan Australia - Melayu ini menghiasi slot Akasia di TV3 menerusi drama bersiri Mencintaimu setiap Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam.

Apa tidaknya, meskipun masih baru dalam bidang seni, tetapi dia berjaya mencuri tumpuan kerana wajah dan personalitinya yang menawan.

Baru mencecah usia 20 tahun, empunya nama Zahirah Macwilson ini cukup bertuah kerana kehadirannya dalam bidang ini turut mendapat sokongan daripada bapanya sendiri yang merupakan bekas pembaca berita TV3 dan juga seorang pelakon.

Berkongsi mengenai penglibatannya, akui Zahirah, dia bagaimanapun tidak mahu kehadirannya ini dipandang remeh oleh penggiat dan peminat seni tempatan.

"Dek kerana itu saya mahu memilih karya, saya tidak kisah menjadi pelakon tambahan tetapi memilih untuk tidak melakonkan adegan 'daring' dan watak yang terlalu seksi," katanya kepada Zass.

Tambahnya, selain kehendaknya, dia juga perlu menghormati keluarganya yang telah memberinya ruang bertapak dalam industri ini.

"Saya tidak mahu perkara sedemikian mendatangkan aib kepada mereka. Lagipun, saya mahu mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang kontroversi.

"Kalau boleh juga, saya mahu jauhkan diri daripada gosip dan cinta lokasi," katanya.

Berbicara lanjut, kata Zahirah, dia sebenarnya tidak menyangka akan diberi peluang menjadi teraju utama Mencintaimu yang telah membuka mata peminat seni terhadapnya sementelah masih mentah sebagai anak seni.

"Apabila mendapat tawaran tersebut memang saya terkejut, tetapi saya anggap semua itu rezeki dan peluang saya untuk bertapak dalam industri penuh mencabar ini," katanya kepada Zass.

Dia bagaimanapun tidak mahu terlalu teruja dengan penampilan sulungnya ini kerana bimbang tidak berjaya memikat hati penonton mahu pun peminat seni.

"Bukan mudah menawan hati mereka sementelah ramai pelakon yang hanya berjaya menerusi satu drama sahaja.

"Selepas itu, nama mereka tenggelam dan seperti dilupakan. Kalau boleh saya tidak mahu menjadi begitu, tetapi biarlah penglibatan saya ini bertahan lama.

"Sekali memilih bidang ini, saya fokus dan benar-benar serius," katanya yang mesra disapa Ira ini.

Ditanya mengapa dia mengambil keputusan bergelar pelakon, ujarnya yang merupakan seorang model ini, dia ini mencuba sesuatu yang baru selain modeling dan lakonan telah menarik perhatiannya.

"Lebih-lebih lagi apabila papa sendiri memberi sokongan penuh dan memperkenalkan saya kepada lakonan.

"Saya fikir, mengapa tidak mencuba dan kini saya telah jatuh cinta padanya," kata pelakon Dunia Generasi Baru ini.

Demi minatnya terhadap lakonan juga, Ira turut menangguhkan pembelajarannya buat sementara waktu.

Berbicara mengenai kekuatan yang dimilikinya untuk bertahan dalam bidang ini dan bukan bergantung kepada rupa semata-mata, jelasnya, dia berharap dapat menepis persepsi bahawa pelakon cantik mempunyai kelebihan.

"Memang beruntung dikurniakan wajah cantik, tetapi jika tidak berbakat, kita tidak akan ke mana dalam industri ini," ujarnya.

Selesa bersama Sharnaaz

Memainkan peranan sebagai Anissa menerusi drama tersebut, akui Ira bukan mudah menjadi Anissa kerana dia perlu menjadi dua karakter pada masa sama.

"Pada awalnya saya menjadi seorang gadis kampung yang lembut dan pemalu, tetapi kemudian bertukar menjadi gadis yang tegas dan moden.

"Jadi saya perlu melakukan banyak kajian untuk merealisasikan watak tersebut. Tetapi saya bersyukur kerana mendapat sokongan pihak produksi terutamanya pengarah," katanya.

Bercerita pengalamannya berlakon bersama Sharnaaz, kata Ira, walaupun kekok pada mulanya, namun kerjasama yang diberikan membuatkan dia selesa berlakon bersama pelakon itu.

"Dia seorang yang tidak lokek ilmu, malah dia banyak memberikan tip kepada saya sepanjang penggambaran dijalankan," tambahnya.

Selain Mencintaimu, Ira juga bakal menjalankan penggambaran menerusi drama Cik Cinderella dan Encik Tengku menerusi slot Lestary bersama pelakon Shukri Yahaya.

Artikel Berkaitan

GOSSIP 558315283723293136

Post a Comment

Arkib

Like Dan Dapatkan
Info Berita Terkini
item