'Abang ! Tolong, Saya Sakit !' - Sayu, Detik-Detik Wanita Meraung Lebih Sejam Sebelum MENINGGAL DUNIA...
http://kainkembang.blogspot.com/2016/03/abang-tolong-saya-sakit-sayu-detik.html
BANGI 16 Jan. – “Abang Yan, tolong. Saya sakit, haus”.
Itulah teriakan sakit mangsa kemalangan tragis, Hasna Jawahir, 41, memanggil abang sulungnya, Jamiran Jawahir, 50, semasa tersepit dalam kereta selama lebih satu jam.
Operator pengeluaran kilang itu terlibat dalam kemalangan selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah lori 10 tan ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di simpang tiga Jalan Besar, Pekan Bangi Lama, di sini pagi ini.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Kampung Rinching Hilir, dekat sini.
Menurut abang sepupunya, Abdul Rahim Mat Som, 53, selepas pihak bomba memaklumkan kejadian itu, beberapa ahli keluarga termasuk suami dan anak sulung mangsa bergegas ke tempat kejadian.
“Saya terdiam seribu bahasa melihat anak arwah meraung-raung memanggil ibunya namun ditenangkan oleh ahli keluarga lain.
“Ketika kejadian, mangsa hanya menjerit kesakitan serta memanggil abang sulungnya, Jamiran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi semasa mangsa memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback untuk pulang selepas waktu kerjanya tamat.
Semasa tiba di tempat kejadian, Hasna yang memberhentikan kenderaannya di persimpangan lampu isyarat dirempuh dan diseret sebuah lori 10 tan yang membawa muatan batu.
Tidak cukup dengan itu, pemandu lori dikatakan gagal memberhentikan kenderaannya lalu merempuh tiga lagi kenderaan lain yang turut berhenti menunggu lampu isyarat.
Akibat rempuhan tersebut, mangsa tersepit di kerusi pemandu selama lebih sejam sebelum berjaya dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat.
Bagaimanapun, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam selepas itu ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, dekat sini.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, pemandu lori yang datang dari arah Jalan Bangi-Semenyih itu dipercayai gagal mengawal kenderaanya sebelum terbabas ke Jalan Bangi Lama lalu merempuh kereta yang dipandu Hasna.
“Lori berkenaan turut mengheret kenderaan mangsa dan kemudiannya mengenai tiga lagi kenderaan lain yang berada di kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah jurucakap itu, akibat rempuhan, mangsa terperosok di bawah lori dan mangsa tersepit di kerusi pemandu.
“Orang ramai yang berada di lokasi kejadian berjaya mengeluarkan pemandu sebuah lagi kereta dan membantu mangsa lain. Namun mereka gagal menyelamatkan Hasna yang terperosok.
“Usaha menyelamatkan wanita itu kemudian dilakukan pasukan bomba. Dengan bantuan kren, bomba dapat mengangkat lori 10 tan berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan mangsa pada kira-kira pukul 8.47 pagi
Jurucakap itu berkata, kes itu kini disiasat mengikut Sek.41 (1)(A) Akta Penangkutan Jalan 1987.
Abdul Rahim berkata, dia dan keluarga menganggap kejadian tersebut sebagai takdir.
“Walaupun Hasna berjaya diselamatkan namun, Tuhan lebih menyanyangi dia.
“Cuma saya agak menjadi pilu apabila mengenangkan nasib anak-anak saudara saya selepas ini,” jelasnya.