Lelaki Ini Menderita Selama 8 Tahun Kerana Kecuaian Hospital. Kesiannya Ya Allah...


Assalamualaikum. 

"Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk berkongsi tentang apa yang berlaku kepada diriku"

Mohon jasa baik kawan-kawan, saudara-saudara memberikan pendapat mengenai kes kecuaian hospital yang mereka ambil mudah dan tiada penjelasan dari apa yang mereka telah lakukan.

Perkara ini berlaku bermula 14 November 2007 ketika saya berusia 20 tahun. Saya yang menunggang motosikal ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Tesco Ampang mengalami kemalangan jalan raya di Jalan Wahyu, Kuala Lumpur. Tulang paha kaki kanan patah, dan saya dihantar ke sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur dengan menaiki kereta yang dibantu oleh orang awam yang berada di lokasi kemalangan. 

Sampai di hospital, mereka membalut kaki saya dengan kain dan kayu untuk menstabilkan kaki saya yang pada ketika itu lemah. Setelah itu, mereka membawa saya ke bilik x-ray dan saya menunggu di depan bilik x-ray saja hampir 3 jam!

Sambil menunggu, saya meraung kesakitan yang teramat sangat. Hanya Allah saja yang tahu. Selama 3 jam itu, mereka tidak memberikan saya ubat tahan sakit walaupun saya sudah banyak kali meminta pada jururawat yang lalu lalang di situ. Malah mereka buat tak tahu dengan permintaan saya. 

Ada yang mengatakan bahawa pihak hospital tidak akan melayan dengan baik jika seseorang itu dilabel sebagai kaki rempit. Adakah itu adil tanpa mengkaji selidik dulu? Adakah sifat itu perlu ada pada seseorang yang bekerja dalam bidang perubatan? Dimanakah keikhlasan mereka membantu pesakit-pesakit? Adakah mereka perlu ada layanan pilih bulu dalam menjalankan tanggungjawab? 

Soalan cepu emas saya kepada pihak hospital, jika adik beradik atau saudara jururawat atau doktor yang menjadi pesakit hospital, adakah mereka akan menerima nasib yang sama seperti saya?

Maaf, saya bukan mat rempit. Dulu saya rappers jalanan. Hehe! Zaman muda-muda.



Setelah 3-4 jam menunggu dan setelah kaki di x-ray, mereka mengesahkan kaki kanan saya telah patah dan perlu dirawat dengan memasang implant (seperti dalam gambar). Kaki saya digantung terlebih dahulu dengan pemberat 5 kilogram. Ia adalah proses biasa sebelum pasang implan, selama seminggu. 

Selepas enam hari, kaki saya digantung besi pemberat. Seorang doktor yang saya tidak ingat namanya datang berjumpa saya dan memaklumkan dirinya adalah doktor yang bertanggungjawab dalam pembedahan yang akan dijalankan ke atas saya. Apa yang memeranjatkan saya ialah doktor itu sebaya saya!

Wow! Saya terperasan pada nombor kad pengenalannya tahun 1987 di tag namanya. Doktor itu hanya berumur 20 tahun. Dalam fikiran saya, mesti dia adalah doktor pelatih. Memandangkan kaki saya sudah digantung dan saya berada di hospital pakar (kononnya) saya pun bersetuju untuk menjalankan operasi pembedahan. Beliau juga ada memaklumkan bahawa beliau akan memasukkan implant yang gred Apada kaki saya kerana pada masa itu stok lain sudah kehabisan. Beliau juga memberitahu besi saya boleh dikekalkan.

Selesai pembedahan, keesokannya saya didatangi oleh seseorang dari Bahagian Fisio dan menyuruh saya berjalan perlahan-lahan dan membengkokkan kaki. Pada masa itu kaki saya hanya boleh bengkok 90 darjah sahaja. Setelah itu dia berkata "Kaki awak dah okay. Esok boleh balik,". Saya pun gembira.

Semasa balik saya ada terfikir, mengapa pihak hospital tidak x-ray kaki saya selepas pembedahan? Mungkin mereka lebih tahu apa yang mereka buat dan saya positifkan fikir saya bahawa kaki saya akan sihat seperti sedia kala. 

Saya ke Seremban dan tinggal di rumah orang tua saya untuk berpantang.

Selepas tiga hari di rumah ayah, kaki saya bengkak dengan mendadak. Saya mengalami demam panas. Saya cuba berfikiran positif bahawa ini adalah perkara biasa. Tetapi demam saya berlarutan selama 7 hari diikuti kaki saya yang semakin membengkak sebesar baldi saiz sederhana. Hanya Allah saja yang tahu bagaimana rasa sakitnya yang saya tanggung.

Pada malam itu juga, ayah telah menghantar saya ke sebuah hospital swasta di Seremban. Semasa sampai, saya berjumpa dengan Doktor Wan Hazmi lalu beliau memeriksa kaki saya. 

Setelah diperiksa, beliau memaklumkan bahawa kaki saya mengalami jangkitan pada bahagian implant. Lalu beliau terus melakukan pembedahan dengan membuka kembali 20 jahitan. Dengan mata saya sendiri saya lihat sebaldi nanah keluar dari kaki saya. Beliau memberitahu bahawa kaki saya tidak boleh dijahit semula. 

Ya Allah! Bagaimana saya mahu melalui semua ini dengan melihat tulang kaki yang ada implant dengan mata saya sendiri tanpa sebarang jahitan? Doktor itu juga mengesahkan bahawa pembedahan sebelum ini juga gagal dan beliau akan mengeluarkan satu surat sokongan jika saya mahu membuka isu ini. 

Pada masa itu beliau tidak dapat memberitahu apa punca sebenarnya. Mungkin beliau tidak dapat melihat kecuaian sebenar memandangkan besi implant menutupi kecuaian (rujuk  gambar di bawah sebelum operasi)

Bayangkan 20 jahitan yang lukanya sebesar bola ragbi dibuka dan dibiarkan pulih sendiri? Ya Allah. Saya juga perlu mencuci luka setiap hari. Seluruh keluarga saya tidak mampu walaupun melihat luka saya terlalu besar sehingga nampak tulang paha. 

Setelah apa yang berlaku, saya mula fobia dengan hospital dan membuat keputusan untuk merawat sendiri menggunakan rawatan tradisional. Pada masa itu saya masih lagi berfikir tiada sebarang kecuaian yang berlaku. Saya hanya memikirkan kesilapan itu mungkin terjadi akibat saya tersalah makan. Saya masih mahu berfikiran positif.


Hanya seorang saja yang sudi dan mampu membersihkan luka saya iaitu isteri saya. Pada masa itu kami hanya berkawan dan bernikah tidak lama selepas kejadian ini.

Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan, tahun demi tahun saya menunggu untuk melihat kaki saya kembali seperti biasa. Tetapi luka masih berdarah dan bernanah, namun saya tetap enggan pergi ke hospital kerana takut kaki saya akan bertambah teruk pula nanti. Jika mahu meneruskan rawatan di hospital swasta pula, saya tidak mampu. Saya juga terpaksa bekerja sebagai penjual simkad di Eria Kuala Lumpur. Memandangkan kami bukanlah berasal dari keluarga yang berada, nak bekerja sebagai juruteknik kilang dengan sijil kelayakan SkM terpaksa juga saya lupakan.

Dua tahun kemudian, 2010.

Kaki saya tiba-tiba terasa sakit yang teramat sangat dan membengkak. Nanah dan darah keluar dengan banyak malah keluar air bisa yang banyak. Badan saya terasa amat panas, demam, tiada selera makan dan tidak mampu berjalan. Setiap hari saya meraung, lutut saya seperti diketuk oleh tukul besi dengan kuat setiap 5 - 10 minit. Ya Allah, saya terlantar hampir tiga bulan sehingga kulit di bahagian belakang badan saya melekat pada tilam. Badan saya yang seberat 60 kilogram turun mendadak sehingga 40 kilogram. Badan tinggal tulang dan kulit sahaja dan saya sedar kaki saya tidak boleh bengkok atau lurus. Yang sedihnya luka saya masih tidak sembuh.

Kaki tidak boleh bengkok atau lurus seperti remaja lain.pergerakan saya amat terbatas dan tidak mampu untuk bekerja. Jika saya berjalan melebihi setengah jam mudah sakit. Dan saya pernah demam panas melampau selama 3 bulan berturut2. Dan selama itu saya tiada selera makan dan kaki saya amat2 sakit. Hanya allah sahaja yang tahu kesakitan saya pada ketika itu. pada masa itu Seperti diketuk tukul besi di kaki(dengan kuat) setiap 5 minit. Pada masa itu juga Saya juga sering meraung hampir setiap malam.

Apabila saya sihat dari demam panas yang melampau, saya bekerja semula di kafe siber di Nilai. Mujur kerjanya hanya duduk sahaja. 

Lima tahun kemudian, 2015.

Luka saya beransur mengecil. Hanya ada 7 lubang kecil yang mengeluarkan darah dan nanah. Syukurlah dari luka sebesar bola ragbi.

Setelah puas dipujuk oleh ibu, akhirnya saya pergi juga ke hospital kerajaan di Seremban. Pada mulanya segalanya berjalan dengan baik dan lancar. Malangnya perkara itu tidak berterusan. Mereka melakukan x-ray pada kaki saya dan memaklumkan bahawa skru kaki saya telah bengkok dan tidak dapat dikeluarkan (sebenarnya bukan skru). Saya pun terfikir, mungkin inilah takdir yang saya perlu hadapi. Lalu mereka menetapkan tarikh pembedahan pada 3 Disember 2015.

Semasa saya berada di hospital, sehari sebelum pembedahan, datang seorang doktor Cina ke katil saya. 

"You tahu tak kaki you ada tertinggal besi drill dan besi drill itu tertinggal patah di dalam tulang kaki you semasa operation pertama?" kata doktor itu. 

"Besi drill? Apa itu? Patah? Dalam Tulang? Apa tu?" soal saya yang keliru.

"You tahu, sebelum orang mahu pasang skru pada kayu, mereka perlu membuat lubang terlebih dahulu dengan menggunakan mesin drill kan?" katanya.

Saya mengangguk faham.

"Itu mata drill sudah patah dan sekarang tidak boleh dikeluarkan. Kalau nak keluarkan, kita perlu buat satu lubang besar pada tulang you dan korek itu besi keluar. Tetapi ia amat berisiko. Tulang you akan menjadi rapuh. Doktor di Hospital Kuala Lumpur tak cerita sama you ke?" soalnya.

"Mereka tak ada beritahu apa-apa pun?" balas saya yang masih ingat doktor itu bergurau.

"Kalau macam itu, you sudah tahu sekarang. Kami tidak dapat keluarkan mata drill itu dari tulang kamu," katanya.

"Tak boleh cuba ke doktor? Ada apa-apa infect tak?" tanya saya yang mahukan kepastian dan jaminan.

"Tak ada apa-apa. You jangan risau," katanya seperti cuba mempertahankan rakan sejawatannya.

Saya dan isteri saling memandang dan tidak percaya.

Setelah pembedahan, tiada seorang doktor pun yang menjelaskan perkara yang sebenar. Semasa lawatan pun mereka tidak singgah ke katil saya dan tidak menunjukkan pada saya hasil x-ray. Mungkin mereka tidak tahu bagaimana mahu menjelaskannya. Sehingga saya terpaksa curi tengok x-ray saya ketika mereka sedang leka secara bersembunyi. 

Ya Allah! Dengan jelas saya nampak mata besi drill melalui x-ray. Saya sedih, bermacam-macam benda yang bermain dalam fikiran saya. Bagaimana besi drill itu boleh kekal dalam tulang? Betul ke tiada infection? Selamat ke? Kenapa tiada doktor yang menjelaskan? Kenapa doktor di Kuala Lumpur buat saya jadi seperti ini? Patutlah kaki saya tak boleh bengkok sebab ada benda asing dalam kaki selain besi implant. 

Selepas seminggu, saya memohon untuk keluar kerana terasa amat tertekan berada di hospital. Doktor pun membenarkan saya keluar dengan alasan saya seorang pesakit yang sangat cerewet. Jika nak diceritakan, bermacam-macam lagi perkara yang membuatkan saya menjadi benci dengan doktor. Perkara ini berlaku juga menyebabkan saya tidak dapat bekerja menyara keluarga dan membalas jasa ibu bapa saya. Saya juga terpaksa menyusahkan banyak pihak terutamanya ahli keluarga. Zaman muda saya juga habis begitu sahaja. Jika semua ini berlaku akibat kecuaian saya, saya redha tetapi ini melibatkan kecuaian pihak hospital yang mungkin akan berlaku pada orang lain.

Hari ini saya membuat keputusan untuk memviralkan perkara ini tetapi bukan untuk menagih simpati, belas kasihan atau mahu memburukkan mana-mana pihak. Cuma mahu menuntut keadilan dan agar perkara ini tidak berlaku pada orang lain. Saya hanya mahu wakil dari pihak hospital datang memohon maaf. Tetapi mereka berkelakuan seperti tidak bersalah dan perkara ini juga tidak dipandang seirus. 

Bagi saya, untuk menjadi doktor perlukan keikhlasan, bukan kesempurnaan yang saya harapkan. Usahawan Tanah Melayu


Artikel Berkaitan

BERITA SEMASA 3843117520814889510

Post a Comment

Arkib

Like Dan Dapatkan
Info Berita Terkini
item