SUBHANALLAH ! Ramai Terkejut Dengan Tindakan Sultan Johor Di Restoran Ini


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berbual mesra dengan orang ramai sebelum berangkat pulang setelah selesai bersantap pagi di Restoran Al Ziya Fathima di Pusat Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh, Muar, Johor, semalam. UTUSAN/MUHAMAD AIMY AHMAD


MUAR 4 Jan. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meneruskan cara tersendiri mendekati rakyat jelata apabila berkenan bersarapan di Restoran Al Ziya Fathima di Pusat Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Ib­rahim yang berbaju kemeja dan bersongkok di restoran berkenaan pada pukul 6.45 pagi, tidak dise­dari orang ramai kerana baginda melangkah masuk tanpa sebarang protokol.

Namun tidak lama selepas itu, para pelanggan restoran tersebut teruja kerana menyedari kehadi­ran baginda yang ditemani Pegawai Daerah, Ramlee A. Rahman.

Seperti orang biasa, baginda memesan sendiri santapan kege­marannya iaitu roti canai, kari kambing dan kari ayam serta minuman halia o ais sebelum ber­kenan bermesra dan bergambar bersama-sama rakyat.

Selepas meluangkan masa kira-kira 40 minit bersarapan, baginda membuatkan pelanggan lain berasa teruja apabila membayar harga makanan kesemua mereka sebelum berangkat pulang ke Istana Tanjung, di sini dengan memandu sendiri ken­deraan pacuan empat roda.

Baginda juga sebelum ini mela­kukan perkara yang sama di beberapa buah restoran di daerah ini.

Seorang pengunjung, Hashim Isnin, 46, mengakui amat teruja dan bangga kerana buat pertama kali berpeluang bersarapan de­ngan Sultan Ibrahim.

“Saya tidak sangka dapat bergambar dan bersalam dengan Tuanku kerana tidak tahu pun baginda akan bersarapan bersama-sama rakyat pagi ini,” katanya.

Amin Razak, 38, yang baru selesai menghantar anaknya ke sebuah sekolah berdekatan kira-kira pukul 7 pagi ini terkejut apabila melihat rombongan Sultan Johor singgah bersarapan di restoran berkenaan.

“Sebaik sahaja melihat baginda melangkah masuk, saya turut singgah bersarapan di sini kerana bukan mudah dapat bersarapan de­ngan sultan yang berjiwa rakyat dan disayangi semua rakyat Johor,” katanya.

Dalam pada itu, pengurus restoran tersebut, Ali Nowfal Abdul Rahman, 30, berkata, mereka cuba menyediakan hidangan yang terbaik selepas mengetahui ba­ginda akan singgah di restoran berkenaan untuk bersarapan.

“Saya hanya mengetahui Tuanku akan singgah ke restoran kami pada pukul 6 pagi tadi walaupun pihak istana ada memberi makluman awal semalam,” kata­nya yang gembira dan bangga apabila baginda memilih bersarapan di restorannya.


Artikel Berkaitan

BERITA SEMASA 7290311930058841878

Post a Comment

Arkib

Like Dan Dapatkan
Info Berita Terkini
item